UiTM Cawangan Johor - Bukan kecil perananmu, bukan sedikit sumbanganmu UiTM Cawangan Johor melakar sejarah di negeri Johor Darul Ta’zim ini pada tahun 1983. Kampus pertamanya di Bukit Siput telah dirasmikan pembukaannya oleh Dato’ Abd. Ajib bin Ahmad, Menteri Besar Johor pada ketika itu. Atas keperluan yang kian berganda, lokasi UiTM Johor berpindah ke bangunan yang lebih besar dan selesa iaitu di Segamat Baru pada tahun 1985. Pada tahun 1990, UiTM Cawangan Johor telah tersergam indah di KM12, Jalan Muar-Segamat di atas tanah kurniaan pemerintah negeri. Di sini, UiTM Cawangan Johor telah berkembang pesat dengan memenuhi tanggungjawab sebagai kampus UiTM Negeri. Kampus Segamat ini menempatkan empat (4) buah fakulti iaitu Fakulti Perakaunan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Fakulti Pengurusan Maklumat dan Fakulti Sains Komputer & Matematik. UiTM Cawangan Johor juga mempunyai sebuah kampus ke-2 yang terletak di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang dan dikenali sebagai Kampus Pasir Gudang. UiTM Cawangan Johor kini dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur pengajaran & pembelajaran serta kemudahan riadah dan rekreasi yang menjadikannya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang disegani. Yang pasti, UiTM Cawangan Johor akan berterusan menempa nama gemilang sebagai bukti keluhuran budi dan kemurnian jati diri anak bangsa dan pertiwi. |